Sekarang ini aku sedang menyiapkan sebuah laman web yang aku namakan Bengkel Seni Layar, iaitu sebuah laman web yang akan mengkhusus dalam hal-hal yang berkaitan dengan abc penerbitan filem dan tivi.
Sudah berlalu lebih sepuluh tahun aku menjadi orang yang agak cukup bertuah kerana dapat menyara hidup dengan penulisan skrip. Walaupun kekadang tu memang ada zaman yang perit, tapi hasil dari penulisan jugalah yang 'menyelamatkan' aku. Sekarang ni, setelah sekian lama menjadi 'abdi' kepada perahan idea, aku bercadang untuk beranjak sedikit ke lorong ilmu. Menganjurkan bengkel, memberikan ceramah dan kursus. Aku rasa ramai rakan-rakan di luar sana yang sudi untuk turut sama menurunkan ilmu mereka kepada bakal pelapis baru. Bukanlah bermakna Malaysia ini masih belum cukup sekolah berhubung ilmu filem dan tivi, tapi apa yang aku rancangkan ni kukira sebagai wadah dan untuk membuka peluang kepada rakan-rakan yang tidak 'dipandang' oleh sekolah-sekolah filem dan tivi tersohor yang sedia ada, biarpun rakan-rakan ini cukup banyak ilmu, pengalaman dan asam garam yang telah dikutip sepanjang bergelumang dalam dunia filem dan tivi.
Bengkel, seminar atau kursus yang aku rancang akan diadakan tak lama lagi itu akan dicuba diberikan kelainannya. Ringkas dan murah, tapi berkesan dan berguna, timbul dan bergema. Aku percaya ramai anak-anak muda yang berilham tinggi, tapi tidak mendapat peluang untuk belajar serta meluahkan idea mereka. Inilah sasaran Bengkel Seni Layar kelak.
Menerusi blog ini, dan juga melalui Bengkel Seni Layar, aku mahu membantu sesama penulis mendapatkan informasi yang mereka perlukan supaya mereka berupaya memahami kehendak industri. Aku mahu sama-sama membantu mengeluarkan hasil karya yang terbaik, supaya apabila sesuatu hasil karya itu dihantar ke pihak penerbitan, baik penerbit atau stesen tivi, hasil ilham itu adalah yang terbaik dan sukar ditolak. menerusi blog ini, aku bukan sahaja akan mengkisahkan kisah-kisah aku, tapi seboleh mungkin untuk menebarkan seluas mungkin informasi bagaimana menjadi seorang penulis skrip dunia seni layar yang profesional.
Setakat ini dulu kali ini, lain kali bicara lagi.
Adios, Wassalam!
No comments:
Post a Comment