Bengkel Intensif Penulisan Skrip TV Yang Boleh Dijual

Sunday, November 11, 2012

Hai Penulis... Jadikanlah Diri Kita Atlit...

Salam Sejahtera
Jumpa lagi, berkongsi lagi...


Untuk mencapai kejayaan dalam apa bidang, banyak faktor yang diperlukan. Namun dalam apa cabang usaha sekalipun, jalan menuju kejayaan nampaknya hampir sama, malah ada yang sama. Mari kita ambil contoh kejayaan seorang atlit. Seorang atlit, baik individu atau berpasukan sentiasa bekerja keras walaupun pada saat tidak berada di padang atau gelanggang. Mereka berlatih terus tanpa mengira jemu dan lelah. Kenapa begitu? Kerana apa bila tiba masanya untuk bertanding segalanya telah menjadi biasa dan peluang untuk menang lebih luas terbuka.


Dan kita, sebagai penulis tidak salah kalau 'mencuri' cara mereka bersedia menuju gelanggang pertandingan. Semasa di sekolah rendah, kita diajar mengenal ABC dan kita dilatihtubi menulisnya berulang kali hinggalah kita mahir menulis, malah menajdi mudah mengenali nama abjad menurut bentuk-bentuk abjad itu. Semasa di sekolah menengah pula, kita ditekankan latihan menulis karangan atau esei, membaca karya-karya kreatif sehinggalah kita menjadi 'biasa' dan 'terisi' dengannya. Hari ini, kita telah dilepaskan ke gelanggang. Kita berhadapan dunia yang sama dengan dunia yang pernah penulis novel atau cerpen yang pernah kita baca semasa di sekolah dulu mengharunginya. 

Balik kepada kisah atlit dengan rutinnya, saya sangat percaya kita boleh mencuri rutin mereka untuk dijadikan resepi kejayaan kita. Kalau masih rajin membaca, teruskanlah.

 Kebanyakan tips menulis pasti akan mengarah kepada kreativiti dan produktiviti, tapi tips ini adalah berkaitan 'kekal cergas'. Kecergasan bukanlah milik mutlak para atlit semata-mata. Semua profesional perlu mengekalkan tahap kemahiran dan tumpuan dalam bidang masing-masing. Dalam bidang penulisan juga, kita perlu berada dalam siap siaga. Untuk itu ada latihannya, dan kita harus laluinya jika mahu berjaya. 

Inilah tips atau rutinnya;

Latihan Bahasa: Sebagai penulis, kita perlu mewujudkan latihan berterusan kepada kemahiran bahasa. Baca. Baca buku, majalah, jurnal bahasa dan seumpamanya. Rutinkan diri menyelesaikan teka silangkata atau apa saja permainan bahasa yang boleh mengingatkan dan memahirkan kita kepada bahasa.

Mengguna Peralatan: Dapatkan sumber yang baik dan padu yang boleh meletakkan kita pada kedudukan teratas dalam lapangan ini. Carilah blog, buku, video atau apa saja yang berkaitan yang boleh menjadi sumber inspirasi yang boleh membantu mengatasi kelemahan dan mengangkat kekuatan kita sebagai penulis.

Latihan Idea: Pernah apabila kita mahu menulis tapi tidak tahu apa yang harus ditulis, ia amat menyakitkan. Ini boleh diatasi jika kita sentiasa menjalani latihan menulis. Apakah latihannya? Tulislah benda-benda yang pendek, ringkas dan tidak perlu memerah otak. Misalnya pantun, sajak, pepatah - paling bagus apa-apa saja idea yang terlintas di fikiran, jangan kira besar atau kecil.

Latihan Menulis: Tulislah setiap hari. Jika tidak ada tugasan yang perlu kita tulis, pastikan kita tetap menulis sebagai rutin harian - paling kurang menulis catatan jurnal diri atau apa saja yang boleh ditulis. Kalau tidak mahu menulisnya di atas kertas - walaupun ini yang terbaik, tulislah di status facebook kita. Tulislah apa saja, setiap hari. 

Setkan Matlamat: Apabila anda hendak mula menulis satu projek, setkan matlamatnya sebagaimana atlit set untuk menjadi juara. Matlamatnya mungkin dalam bentuk masa. Ini akan meletakkan anda berada dalam situasi 'Race Again Time". Percayalah kita akan berterima kasih jika kita mampu melakukannya.

Hadiahkan Kejayaan: Setiap atlit mengejar medal, hadiah atau anugerah. Begitu jugalah seharusnya penulis. Setiap kali berjaya menyiapkan satu tugasan, berikanlah hadiah atas kejayaan yang dicapai itu sebagai satu penghargaan kepada diri sendiri. Wang ringgit yang akan kita terima bukanlah hadiah, ia upah. Jadi fikirkan hadiah yang sesuai yang boleh memberikan kepuasaan.

Dan akhirnya, lakukanlah hari ini. Seorang atlit tidak akan bertangguh untuk memulakan latihannya kerana dia tahu dia tidak punya banyak masa untuk menempuh hari pertandingan sebenar. Begitulah juga dengan kita. 

Teruskan menulis!



Takat inilah dulu...


Wassalam. Adiossaa!!!



Jamil Mutalib