Bengkel Intensif Penulisan Skrip TV Yang Boleh Dijual

Monday, January 7, 2013

Mewujudkan rasa....

Salam Sejahtera
Jumpa lagi, berkongsi lagi... 
 


Sebuah lakonlayar adalah umpama mangkuk tingkat yang berisi pelbagai rasa di setiap tingkatnya. Kekadang pelbagai rasa itu boleh terangkum dalam satu tingkat yang sama pula.

Di manakah pernah kita lalui tempat yang mempunyai pelbagai rasa apabila kita mengunjunginya? Banyak tempat bukan, bergantung kepada pengalaman masing-masing. 

Salah satunya ialah sarkas. Di dalam sarkas ada rasa gembira, suspen, takut, ngeri, lega, berbaloi, teruja dan seumpamanya. Ia bergantung kepada apa yang kita dipertontonkan atau apa yang kita pilih untuk menontonnya. 

Misalannya kita melihat seorang ahli sarkas yang berjalan mengimbang badan di atas sebilah tali halus, nun sayup di awangan, bermacam ragam rasa datang kepada kita.  Semasa awal dia bermula, perasaan kita pada masa itu mungkin tidak ada apa-apa. Kalau adapun ialah rasa teruja untuk melihat aksi seterusnya. Semasa dia berada di pertengahan tali, rasa kita ialah berdebar-debar sambil meneka-neka. Malahan mungkin ada yang mengharap dia jatuh, manakala yang lain pula berharap agar dia selamat.Apatah lagi kalau masa itu talinya ataudirinya berhoyong-hayang.

Bila dia sampai ke penghujung dengan selamat, kita akan berasa lega.

Jadi, apabila kita menulis, pada setiap tingkat pastikan ada rasa yang kita cuba timbulkan. Pastikan pembaca dan penonton dapat sama-sama merasakan rasa itu.Kerana rasa inilah antara elemen yang menolak cerita.

Rasa ini sebenarnya adalah pengalaman yang ingin dicari oleh penonton. Mereka dahagakan rasa ini. Kenapa filem-filem Bollywood mampu menarik penonton ke panggung adalah kerana mereka kaya dengan adunan rasa yang membuatkan penonton menikmati dan berkongsi rasa itu. Penonton membayar tiket sebenarnya adalah untuk membeli rasa.

Bagaimana mahu melahirkan rasa?

Rasa hanya akan lahir bila kita sendiri, semasa 'mencipta' rasa itu, dapat merasakannya. Jika kita sendiri gagal merasakannya, nescaya orang lain pun tidak akan dapat merasakannya. Mungkin ada yang akan merasa, tapi peratusannya sangat tidak banyak.


Bagi menzahirkan rasa dalam lakonannya, seorang pelakon biasanya akan mengaitkan rasa itu dengan pengalamannya yang terdahulu. 

Begitulah juga yang boleh kita, sebagai penulis, lakukan untuk lahirkan rasa itu. Misalnya untuk melahirkan rasa sedih dalam satu scene, kita boleh kaitkan situasi pengalaman lalu yang bagaimanakah yang telah menyebabkan kita rasa sedih. Jadi berpandukan pengalaman itu, lakarkanlah scenenya.

Slamat mencuba.

 
Takat inilah dulu...



Wassalam. Adiosaaa!!!!