Bengkel Intensif Penulisan Skrip TV Yang Boleh Dijual

Tuesday, April 10, 2012

Menonton Bunohan Dari Dalam Kelambu

Salam Sejahtera
Jumpa lagi, berkongsi lagi...


Kesibukan shooting membuatkan saya gagal menontonnya di pawagam, tatkala ia hangat ditayangkan... Akhirnya dapat juga ditonton 'seorang' diri. Sambil menyelaminya tanpa apa-apa pengaruh, hanya kerana ingin tahu yang amat sangat membuatkan saya mencuri ruang untuk menonton BUNOHAN.


Bunohan tentang apa sebenarnya? Bagi saya, filem ini sangat sukar diterjemah kalau kita melihatnya dari satu jurus sahaja. Ia perlu dilihat dari posisi jurusnya 360'. Saya setuju bila ada yang kata Bunohan sebuah karya seni. Karya seni ini, selalunya lahir bukan dari pikiran pengkaryanya. Seni lahir secara tersendiri. Jika ia lahir hasil dari pikiran pengarahnya, ia belum benar-bernar seni. Seni lahir dari YANG MAHA SENI. Karya seni menggoda pemikiran.


Bunohan adalah tentang watak... Cerita berada di tempat kedua. Itulah sebabnya ada yang berkata, "entah apa-apalah cerita ni". Ini kerana penulisnya ingin melakarkan ceritanya menerusi watak, manakala 'cerita' hanyalah alatnya saja.


Kenapa ia tentang watak, kerana Bunohan adalah tentang Pok Eng, Adil, Ilham, Bakar, Awang, Pak Wah, jolok, Mek Jah, budak. Cerita Bunohan diwakilkan atau dijalin menerusi watak-watak ini.


Bunohan adalah tentang tanah, tentang 'kita', tentang politik, tentang negara. Semuanya mahu merebut kemenangan. Ia bertolak dari merebut. Merebut harta, merebut gelaran, merebut kasih, merebut persahabatan dan merebut segala-galanya.


Dalam diri kita ada Adil yang selalu dambakan gelaran, ada Ilham yang terpaksa melakukan sesuatu biarkan bertentangan dengan kehendak jiwa, ada Bakar yang melakukan apa saja demi hajat, ada Pok Eng yang menyesali dan mahu menebus masa lampu, ada jolok yang menjadi dedalu, ada awang sonar yang selalu 'bermimpi', ada Pok Wah yang sering gagal dalam kemurniannya. Dalam diri kita juga ada Mek Jah yang 'setia tapi buta'.


Skrip Bunohan datangnya dari skrap-skrap watak-watak ini. Watak-watak kita.


Takat inilah dulu...


Wassalam. Adiossaa!!!


Jamil Mutalib